Pertama sekali dalam kesempatan ini mewakili seluruh AJK JKKD Padang Terap merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan YB Datuk sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Juga penghargaan dan terimakasih kami kepada Bekas Menteri KPWKM Datuk Seri Shahrizat Jalil yang telah menjalankan tugas dan memikul amanah sebelum ini. Sesungguhnya kesungguhan, komitmen, semangat juang Datuk Seri amat kami hargai dan sentiasa terpahat dilubuk hati.
YB Datuk
Melihat visi JKM untuk mewujudkan masyarakat sejahtera dan penyayang serta misinya untuk membangun masyarakat ke arah kesejahteraan sosial maka sudah pasti ianya merupakan satu beban besar yang perlu digalas ketika negara menghadapi kegawatan sosial yang begitu meruncing ketika ini. Kejadian pembunuhan bayi dan janin dalam dua kejadian serentak di Georgetown, Pulau Pinang seperti yang dilapurkan media arus perdana semalam benar-benar mengguris hati dan perasaan kami. Itu yang dilaporkan dan saban hari peristiwa tragis dan menghayat hati terus berlaku berulang kali seolah-olah msyarakat hari ini seperti kembali ke zaman Jahiliah dimana bayi-bayi dibunuh tanpa belas simpati.
YB Datuk
Masyarakat sejahtera dan penyayang menuntut pengorbanan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Ketepikan soal perkauman, perbahasan isu babi yang semakin merimaskan, kenaikan harga barang seolah-olah tanpa kawalan, dan pelbagai isu politik yang seringkali mengisi slot Buletin Utama dan Media Arus Perdana sedangkan masalah sosial makin hari makin membimbangkan. Mengapa isu-isu remaja dan kanak-kanak ini dipinggirkan sedangkan mereka merupakan golongan sasar dan generasi masa depan yang bakal menentukan halatuju negara suatu ketika nanti. Tidakkah tercalit sedikit rasa gundah melihat kejadian rogol makin parah kerana pergaulan bebas yang sudah membarah. Tidakkah terdetik rasa cemas melihat remaja kini sudah berani merompak, menyamun dan membunuh dalam negara yang keselamatan kian terancam. Tidakkah rasa bersalah melihat muda mudi menghisap dadah tanpa segan silu, syabu dan pil khayal menjadi rutin untuk bergembira yang akhirnya menjerumuskan mereka le lambah tidak berguna.
YB Datuk
Kami menuntut kesungguhan dan komitmen YB Datuk untuk meneruskan agenda perjuangan yang belum selesai dan tidak pernah selesai. Kami mahu YB Datuk turun padang melihat segala permasalahan remaja yang kian meruncing dan memerlukan perhatian. Kami yakin, YB Datuk punya idea dan kesabaran untuk menempuh segala kesulitan dan kegawatan ini. Percayalah, kami akan berusaha untuk membantu selagi termampu. Inilah harapan kami, harapan bersama seluruh warga Malaysia yang inginkan masyarakat yang sejahtera.
Mesra Sepakat Sejahtera
Yang Benar
Muhd Nor Rashidi b Mahamod
S/U JKKD Padang Terap
No comments:
Post a Comment