Buat semua teman-teman seperjuangan di JKKD Padang Terap saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan terimakasih atas kerjasama dan komitmen anda meneruskan perjuangan memperkasa agenda bangsa. Program `dekat di hati' yang berjalan lancar membuktikan kesungguhan kita pastinya akan mendapat ganjaran akhirnya. Sesungguhnya, usaha ini bukannya melalui jalan mudah. Hasrat untuk melahirkan remaja yang benar-benar berjiwa mulia dan beperkerti luhur pastinya merupakan satu tugas berat yang kita pikul bersama.
Tahniah dan penghargaan buat pelajar-pelajar yang telah mendaftar sebagai ahli `Rakan JKKD'. InsyaAllah, kita akan semarakkan `Rakan JKKD' ini dengan pelbagai program dan aktiviti agar masa terluang dan usia remaja tidak disia-siakan. Penubuhan Rakan JKKD merupakan alternatif JKKD Padang Terap untuk menggabungkan pelajar-pelajar yang berpotensi tetapi menghadapi kecelaruan akibat kepelbagaian permasalahan sosial yang gawat melanda negara ketika ini. Saya berpeluang memberi tiga ceramah berkaitan `Permasalahan Sosial di Kalangan Remaja - Isu dan Cabaran' di tiga buah sekolah terpilih dalam Daerah Padang Terap iaitu SMK Padang Terap, SMK Pedu dan SMK Naka. Seronok rasanya apabila diberi peluang untuk mendekati golongan pelajar dan menerangkan mereka tentang isu-isu sosial yang melanda negara ketika ini. Teruja sungguh bila para peserta bersungguh-sungguh mengamati setiap pembentangan dan gambar yang terpampang di latar LCD. Kisah pembuangan bayi yang makin menjadi-jadi, pergaulan bebas yang akhirnya membawa kepada jenayah cabul dan rogol sehingga dipandang jijik, Cerita remaja ketagih gam yang kian berakar umbi, Gambar kemalangan tragis mat rempit merupakan antara paparan menarik sekadar untuk menagih keinsafan dari hati yang benar-benar suci.
Dalam kesempatan ini, rasa terimakasih yang tidak terhingga buat Pejabat Pelajaran Daerah Padang Terap Pendang atas kerjasama dan sokongan penuh yang dihulurkan dalam menjayakan program `dekat di hati' ini. Semoga perkongsian bestari ini dapat kita semarakkan lagi untuk aktiviti-aktiviti lain kemudian hari. Saya percaya jika permuafakatan ini dapat kita simpulkan, insyaAllah usaha murni ini akan membuahkan hasilnya nanti.
Juga terimakasih buat pihak sekolah yang turut serta bertungkus lumus menjayakan program ini. Pemilihan peserta dan persiapan tempat yang rapi merupakan tautan kerjasama yang perlu dikekalkan lagi. Para kaunselor yang bersama kami sepanjang program ini berjalan tetap dikenang dihati. Tanpa mereka pasti sukar agenda bersama ini hendak dilaksana.
Buat anak-anak pelajar generasi masa depan, terimakasih atas sokongan, kerjasama dan minat yang ditunjukkan. Percayalah, kami sentiasa `dekat di hati' dan akan tetap dihati kamu.
Mesra Sepakat Sejahtera
Setiausaha JKKD Padang Terap
No comments:
Post a Comment