Salam mesra buat teman-teman seperjuangan, rakan-rakan di JKKD Padang Terap serta seluruh anak-anak warga Malaysia.
Ramadhon datang lagi menjenguk kita buat kesekian kalinya. Tiap hadirnya ramadhon pasti membawa khabar ceria buat kita semua. Bulan seribu rahmat yang membawa keberkatan untuk dikongsi bersama. Sesungguhnya, hadir ramadhon pasti mengimbau pelbagai kisah suka duka sepanjang kita melewati batas-batas usia yang kian ke penghujungnya. Bulan yang menggamit memori silam yang terlalu indah untuk dikenangkan. Masa berputar umpama roda dan bergerak terlalu pantas. Zaman berubah dengan cepat dan mendadak meninggalkan budaya tradisi dan diganti dengan kehidupan yang lebih moden serta kotemporari. Itulah kehidupan dan rutin yang dihadapi setiap hamba Allah di bumiNya.
Apapun, ingatan lampau sukar dibuang dari ingatan setiap kali hadirnya Ramadhon. Zaman kanak-kanak yang penuh keriangan masih terawang-awang bermain difikiran dan menjadi topik perbualan menarik apabila bersembang dengan teman-teman selepas solat sunat terawih. Pelbagai kisah menarik tentang Moreh yang menjadi amalan tradisi malam ramadhon merupakan bait-bait kenangan yang pasti menjelma apabila mengimbau ramadhon dan kebesarannya. Dulu, setiap masjid akan mengadakan moreh dengan orang-orang kampung akan bergotong royong memasak dan menyajikan kepada jemaah setiapkali selepas solat sunat. Itulah hadiah ramodhon buat golongan yang kurang berada untuk sama-sama merasai nikmat makan nasi dengan gulai ayam atau daging. Dan bagi kanak-kanak pula, malam-malam ramadhon dimasjid merupakan detik paling manis untuk dikenang kerana inilah masa untuk bermain aci ligan dengan teman-teman sambil sesekali bertindak nakal membakar meriam buluh memecah kesunyian disebalik wirid dan witir Tuk Imam.
Kini segala keriangan itu seakan berlalu pergi. Masjid masih berisi dengan tetamu menunaikan solat terawih tetapi kemeriahan moreh selepas bersembahyang sudah menjadi tradisi yang hilang. Anak-anak muda lebih rela menghiaskan malam ramadhon dengan berlepak bersama rakan dan teman-teman sambil berbual kosong di kafe-kafe siber maupun di warung-warung kopi sebelum menunggu waktu sahur dan esok berpuasa lagi.Itulah realiti perubahan zaman yang menggamit rasa setiap ramadhon menjelma.
Apapun, salam ramadhon untuk semua. Selamat Berpuasa.
Setiausaha JKKD Pdg Terap