Monday, September 1, 2008

Salam Kemerdekaan dan Selamat Berpuasa

Tanggal 31 Ogos 2008 maka genaplah umur negara kebanggaan kita Malaysia tercinta menyambut hari lahirnya yang ke 51. Pelbagai pesta dan keramaian diadakan diseluruh negara bagi meraikan tarikh keramat penuh bersejarah yang menyaksikan bebasnya negara dari belengu penjajah. 51 tahun dahulu, bendera Union Jack diturunkan di padang Kelab Sultan Sulaiman (sekarang Dataran Merdeka) dan bendera Jalur Gemilang pun dinaikkan menandakan tamatnya era pendudukan British yang menjajahi kita sekian lama. 51 tahun dahulu tanpa perarakan dan tembakan bunga api semangat kemerdekaan diterjemahkan melalui laungan keramat MERDEKA!MERDWKA!MERDEKA! tepat detik 12 tengah malam. Ada airmata yang menitis keterharuan setelah ratusan tahun bumi dijajah. Ada seribu rasa yang sukar dimengerti oleh tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk membebaskan negara dari belengu penjajah. Setelah darah tumpah membasah, semangat juang mereka tidak pernah luntur. Tentunya nama-nama besar yang jasad mereka terkubur masih bersemadi diingatan kita. Jangan kita lupa pada Tok Janggut yang harum kuburnya di bumi Kelantan, Dol Said pejuang terbilang, Hj Abd Rahman Limbong yang bangun perkasa mempertahankan Islam, Datok MaharajaLela yang melakar sejarah berdarah pasir Salak, Mat Kilau dan Dato Bahaman yang gagah berjuang demi membebaskan tanahair tercinta.

Sejarah kemerdekaan negara melalui satu perjalanan yang panjang dan bukannya sekadar satu perjanjian atau kata-kata harapan rombongan kemerdekaan. Darah pahlawan yang terkorban jika mengalir pastinya alirnya merah menyala tanda semangat berkobar buat nusa tercinta. Bukan sekadar berarak menuntut hapusnya Malayan Union lantaran tidak berkenan dengan prinsip Jus Soli. Bukan sekadar mendesak dan mengumpul tandatangan Raja-raja Melayu untuk memulaukan majlis pengistiharan Malayan Union. Bukan sekadar berbaris dan bersorak kepada Harold Mc Michael. Tetapi, perjuangan kemerdekaan ini cukup panjang untuk dikisahkan. Kerana kita juga terjajah dalam satu kerangka masa yang panjang. 446 tahun sejak pendudukan Portugis di Bumi Melaka ratusan jiwa telah terkorban demi membebaskan bumi tercinta. Namun apa daya, ketika itu kita lemah dalam segalanya ketika penjajah benar-benar berkuasa. Setelah Portugis, Belanda, British kemudiannya Jepun sebelum kembali terjajah ditangan British semula segala kekayaan dirompak dan diangkut ke negara mereka. Apa lagi yang masih tinggal jika bukan semangat dan rasa keinginan untuk MERDEKA.

Kita mungkin lupa pada Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Burhanudin al Helmi ataupun lewat tulisan Rahim Kajai dan Abdullah Munsyi. Kita mungkin lupa pada Maahad Al-Ihya AlSyarif di Gunung Semanggol kerana tumpuan lebih terarah kepada MPSI dan MCKK. Maka kitapun melupakan sejarah perjuangan tokoh-tokoh terbilang yang pernah bermandi darah dan keringat demi mempertahankan nusa dan bangsa.

Hari ini setelah 51 tahun MERDEKA, kita pun menyambutnya dengan gembira. Dentuman bunga api bergema diudara, bendera jalur gemilangpun dikibarkan dalam pelbagai cara ketika si anak muda memacakkannya di motosikal dan merempit dijalanraya sambil bersorak MERDEKA. Dalam usaha memeriahkannya, Avril Lavigne dijemput sama ke Stadium Merdeka pada malam keramat Malam Jumaat dengan dihadiri hampir 5000 generasi merdeka. Maka menarilah mereka dihiasi dengan semangat laungan keramat di stadium yang pernah menyaksikan Tunku Abdul Rahman berkata MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! . Itulah hamparan permaidani merah menyambut tibanya Merdeka buat kali ke 51. Semuanya gembira dalam semangat kemerdekaan yang kian hilang. Anak-anak muda berpelesaran dan berdua-duaan sehingga habis bilik hotel murahan kerana menyambut hari kemerdekaan. Dan mereka pun membina generasi baru untuk mewarisi sambutan musim mendatang.

Dalam kemeriahan sambutan kemerdekaan kita lupa pada darah dan keringat tokoh pejuang...kita lupa kerana kita terlalu ghairah merayakan kemerdekaan dan kita lupa bahawa kita sebenarnya masih TERJAJAH akal dan pemikiran.


Selamat Meyambut Hari Kemerdekaan

Setiausaha JKKD Padang Terap

No comments:

Berkat Berjasa Untuk Semua

Berkat Berjasa Untuk Semua

VISI DAN MISI JKKD

VISI
Memelihara Jiwa Melindungi Pekerti dan Memulih Minda Kanak-Kanak Bagi Mencapai Kesejahteraan Hidup

MISI
1. Menfokuskan pencapaian matlamat Dasar Sosial Negara.
2. Memupuk Budaya Sepakat bagi menangani gejala sosial.
3. Menggerak aktiviti kemasyarakatan secara menyeluruh dan bersepadu.
4. Menjana daya intelektual membangunkan jiwa kanak-kanak agar lebih matang, berkeyakinan dan berdaya maju.
5. Menjalin semangat toleransi sesama ahli komuniti

MOTTO
Mesra Sepakat Sejahtera

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah
Album Kenangan : Kursus Pemantapan Jiwa Insan di UUM