Thursday, April 9, 2009

Selamat Kembali Datuk Seri Shahrizat Jalil

Salam Perpaduan
Pertama sekali dalam kesempatan ini bagi mewakili seluruh AJK JKKD Padang Terap merakamkan ucapan SYABAS dan TAHNIAH atas kembalinya Datuk Seri menerajui semula Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sesungguhnya, pelantikan ini seakan memberi satu dimensi baru buat JKKD untuk kembali bersama mengerakkan semula aktiviti kemasyarakatan selaras dengan motto JKM iaitu `Berkat Berjasa' dan seiring dengan motto JKKD Padang Terap `Sepakat Mesra dan Sejahtera'.

Muthakir ini, negara di serang kegawatan ekonomi dan dibebankan lagi dengan kebejatan sosial yang makin membarah. Perpaduan di kalangan masyarakat kian hari kian rapuh. Suasana ekonomi global memaksa agenda memperkasakan bangsa diperkukuh agar rakyat tidak terus terhimpit dalam keadaan pasaran yang tidak menentu. Pembuangan pekerja akibat krisis ekonomi menjadi faktor pencetus kepada bertambahnya peningkatan gejala sosial kesan dari meningkatnya bilangan pengangur dalam kalangan remaja. Kesannya amat kritis dan memerlukan komitmen semua pihak yang berkaitan.

YB Datuk Seri
JKKD Padang Terap merasakan bahawa niat yang murni wajar diterapkan bersama kesungguhan yang jitu bagi membangkitkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya kita bersatu hati dan rasa, berkorban jiwa dan tenaga mengembleng seluruh keupayaan agar generasi masa depan yang terbina adalah generasi yang ampuh pekerti dan berjiwa luhur.

Catatan masa menyaksikan betapa kesibukan kita menjana agenda politik yang berterusan telah menyebabkan generasi muda merasa terpinggir dan dipinggirkan. Belaian kasih sayang yang diharapkan di rumah menjadi bercelaru kesan pincangnya institusi keluarga. Dalam masa yang sama mereka menyaksikan kecelaruan politik yang berterusan. Maka generasi ini menjadi jijik dengan sikap sesetengah pemimpin masyarakat yang gagal melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab. Lantaran itu, mereka tidak mempunyai banyak pilihan sekaligus menjerumuskan diri ke lembah kehidupan yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan. Kesannya amat besar sehinggakan pusat-pusat tahanan, pusat serenti, pusat tunas harapan dan pusat tunas puteri sentiasa menerima tetamu baru tanpa henti.

YB Datuk Seri,
Kini harapan seluruh masyarakat terpikul di bahu Datuk Seri. Berikan satu nafas baru agar kebejatan sosial ini dapat sama kita perbaiki. Sesekali, turunlah padang bukan untuk mencari populariti tetapi dengan keinsafan yang tinggi. Jadilah naluri sebagai seorang ibu yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kebahagian anak-anaknya meneruskan kelansungan perjalanan hidup ini. Kami yakin Datuk Seri mampu mengotakan janji. InsyaAllah.

Semoga kita dapat bersama berganding bahu mengembalikan maruah bangsa Malaysia yang maju, cemerlang dan terbilang.

Ikhlas
JKKD Padang Terap

No comments:

Berkat Berjasa Untuk Semua

Berkat Berjasa Untuk Semua

VISI DAN MISI JKKD

VISI
Memelihara Jiwa Melindungi Pekerti dan Memulih Minda Kanak-Kanak Bagi Mencapai Kesejahteraan Hidup

MISI
1. Menfokuskan pencapaian matlamat Dasar Sosial Negara.
2. Memupuk Budaya Sepakat bagi menangani gejala sosial.
3. Menggerak aktiviti kemasyarakatan secara menyeluruh dan bersepadu.
4. Menjana daya intelektual membangunkan jiwa kanak-kanak agar lebih matang, berkeyakinan dan berdaya maju.
5. Menjalin semangat toleransi sesama ahli komuniti

MOTTO
Mesra Sepakat Sejahtera

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah
Album Kenangan : Kursus Pemantapan Jiwa Insan di UUM