Friday, June 19, 2009

Selamat Bertugas...buat teman-teman baru

Salam Mesra
Alhamdulillah setelah beberapa kali tertangguh lantaran kesibukan yang keterlaluan akhirnya majlis penyerahan watikah lantikan dan mesyuarat penyelarasan aktiviti JKKD Padang Terap kali pertama 2009 dapat direalisasikan. Terimakaseh buat semua AJK yang hadir serta Pegawai JKM yang turut sama dalam mesyuarat tersebut. Ternyata sepanjang tahun 2008, JKKD berusaha keras untuk memenuhi visinya iaitu memelihara, melindungi dan memulih kanak-kanak bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Padang Terap yang maju serta mantap. Lantaran itu, kepelbagaian aktiviti yang digarap sepanjang 2008 ternyata telah membuahkan hasil yang memuaskan bagi memenuhi aspirasi dan hasrat bersama mewujudkan masyarakat yang mantap dan maju melalui persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, toleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama.

Sesungguhnya komitmen dan kesepaduan AJK menggerakkan usaha bersama dalam menggalas cabaran menjadikan JKKD sebagai sebuah NGO yang mantap dan berkesan amat disanjung tinggi. Persekitaran sosial yang kian mencabar perlu menjadikan kita lebih berani dan berdaya saing bagi mendepani cabaran 2009. Usaha mengembleng kerjasama secara kolektif dan mewujudkan budaya sepakat bagi menjana perubahan emosi remaja dan juvana agar lebih matang dan berkeyakinan melalui kepelbagaian aktiviti dan program kemasyarakatan menjadi elemen paling murni dalam pembentangan laporan 2008.

Dengan enam program yang dirangka iaitu program dekat di hati , kem pemantapan jiwa insan dan kerjaya diri, rumahku syurgaku, karnival sukan, jejak alam dan masih ada yang sayang membuktikan kesungguhan dan komitmen berterusan JKKD Padang Teap dalam usaha bersama mendepani permasalahan remaja dan kanak-kanak yang kian gawat akhir-akhir ini. Melalui program dekat di hati yang diadakan di sekolah-sekolah menengah sekitar daerah Padang Terap telah berjaya mendekatkan JKKD dengan para pelajar sekitar. Ternyata, melalui soal selidik yang dijalankan satu kerangka kerja yang lebih tersusun perlu direncana dengan gemblengan tenaga yang lebih kukuh. Apa tidaknya, jika pelajar seawal usia 14 tahun sudah terjerumus dengan gejala seks bebas, merempit dan terlibat dengan kesalahan dadah. Menyedari seriusnya permasalahan dalam kalangan pelajar, JKKD Padang Terap akan berusaha dengan lebih gigih bagi membantu mendekati golongan pelajar bermasalah ini untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya, usaha ini memerlukan kerjasama dan kesungguhan semua pihak terbabit. InsyaAllah, yang pahit dapat kita maniskan, yang rapuh dapat kita kukuhkan, yang buta sama kita celekkan agar dunia mereka lebih cerah dan bersinar.

Sekalung tahniah dan penghargaan sekali lagi buat semua jawatankuasa lama yang telah bertungkus lumus menjayakan segala akriviti sepangjang 2008. Jasa baik dan budi luhur teman-teman tidak mampu untuk dibalas dengan sekadar ungkapan kata-kata terimakasih namun itu sahajalah yang termampu untuk diluahkan. Bagi AJK baru yang selesai menerima watikah lantikan, terimalah amanah dan tugas ini dengan penuh rasa insaf dan sedar bahawa di depan kita ada lurah berliku yang perlu direntasi, ada laut dalam yang perlu direnangi ada bukit bukau yang perlu di daki...namun saya yakin dan percaya dengan iltizam dan kesungguhan, kita mampu mendepani segalanya.

Ikhlas Dari
cikgudee@yahoo.com
Setiausaha JKKD Padang Terap.

No comments:

Berkat Berjasa Untuk Semua

Berkat Berjasa Untuk Semua

VISI DAN MISI JKKD

VISI
Memelihara Jiwa Melindungi Pekerti dan Memulih Minda Kanak-Kanak Bagi Mencapai Kesejahteraan Hidup

MISI
1. Menfokuskan pencapaian matlamat Dasar Sosial Negara.
2. Memupuk Budaya Sepakat bagi menangani gejala sosial.
3. Menggerak aktiviti kemasyarakatan secara menyeluruh dan bersepadu.
4. Menjana daya intelektual membangunkan jiwa kanak-kanak agar lebih matang, berkeyakinan dan berdaya maju.
5. Menjalin semangat toleransi sesama ahli komuniti

MOTTO
Mesra Sepakat Sejahtera

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah
Album Kenangan : Kursus Pemantapan Jiwa Insan di UUM