Sunday, December 28, 2008

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009

Hari ini 1 Muharam 1430 Hijrah, bermaksud sudah 1430 tahun berlakunya peristiwa hijrah Nabi Muhamad SAW ke Madinah untuk melebarkan sayap penyebaran agama Islam setelah ditentang keras penduduk Makkah. Peristiwa Hijrah membawa pengertian dan pengajaran yang amat besar kepada umat Islam seluruhnya kerana melalui Hijrahlah telah berlakunya perubahan besar dalam kehidupan Nabi Muhamad SAW dan seluruh pengikutnya. Saban tahun Umat Islam menanti detik Maal Hijrah ini dengan penuh rasa syukur. Masjid dan surau seluruh negara mengadakan bacaan Yassin memohon keberkatan Ilahi agar diberkati kehidupan di dunia ini.

Ketika umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan aman dan sejahtera menyambut hadirnya awal muharam ini Israel sedang mengganas di bumi Palestine. Ratusan rakyat Palestine di bunuh dan disembelih oleh rejim yang paling ganas di dunia pada saat negara-negara besar hanya memejam mata dan memekakkan telinga. Itulah realiti kehidupan hari ini apabila Umat Islam yang pada suatu ketika dahulu begitu gah dan gagah kini lemah dan tidak bermaya.

Sejarah membuktikan bahawa Empayar Islam pernah menguasai satu pertiga dunia. Kekuatan panglima tentera yang berani berjuang tanpa mengenal erti kalah dan putus asa seperti Saidina Hamzah yang gugur di Medan Uhud, Zaid bin Harithah, Umar Al Khatab, Ali b Abi Talib, Khalid Al Walid sehinggalah kepada era Sallehudin al-Ayubi menyaksikan betapa panji-panji Islam sentiasa berkibar megah.

Kini, umat Islam berada di ambang kekalahan dan kemusnahan akibat sikap permusuhan sesama sendiri, dengki, fitnah menfitnah dan dihimpit pula dengan kerakusan sikap tamak dan haloba yang menyaksikan umat Islam tidak lagi dihormati dan diperlekehkan.

Semoga tahun baru Hijrah 1430 menjadi satu detik keramat untuk kita kembali bersatu menghayati betapa sucinya ajaran Islam kerana tanpanya kita lesu dan kaku. Marilah kita bersama mengembalikan kesucian agama yang sedang diperlekehkan dan bersamalah kita bina generasi baru yang maju dan berilmu.

Salam Maal Hijrah

Thursday, October 16, 2008

Kejohanan Bolasepak Piala Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah

Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Padang Terap dengan Kerjasama JKKD Padang Terap akan menganjurkan kejohanan tersebut seperti tarikh berikut :-

Kejohanan Bolasepak Bawah 16 Tahun Peringkat Negeri Kedah (Piala Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah)
Tarikh : 1 Nov 2008 (Sabtu)
Tempat : Pdg Mini Stadium Kuala Nerang
Masa Pendaftaran : 8 00 pagi

Kejohanan Futsal Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Peringkat Negeri Kedah
Tarikh : 1 Nov 2008
Tempat : Tajura Sport Arena
Pendaftaran : 9 00 pagi

Untuk Keterangan Lanjut Hubungi :
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap

Sunday, September 7, 2008

Ramadhon - Bulan Keberkatan Menagih Keinsafan

Salam mesra buat teman-teman seperjuangan, rakan-rakan di JKKD Padang Terap serta seluruh anak-anak warga Malaysia.


Ramadhon datang lagi menjenguk kita buat kesekian kalinya. Tiap hadirnya ramadhon pasti membawa khabar ceria buat kita semua. Bulan seribu rahmat yang membawa keberkatan untuk dikongsi bersama. Sesungguhnya, hadir ramadhon pasti mengimbau pelbagai kisah suka duka sepanjang kita melewati batas-batas usia yang kian ke penghujungnya. Bulan yang menggamit memori silam yang terlalu indah untuk dikenangkan. Masa berputar umpama roda dan bergerak terlalu pantas. Zaman berubah dengan cepat dan mendadak meninggalkan budaya tradisi dan diganti dengan kehidupan yang lebih moden serta kotemporari. Itulah kehidupan dan rutin yang dihadapi setiap hamba Allah di bumiNya.


Apapun, ingatan lampau sukar dibuang dari ingatan setiap kali hadirnya Ramadhon. Zaman kanak-kanak yang penuh keriangan masih terawang-awang bermain difikiran dan menjadi topik perbualan menarik apabila bersembang dengan teman-teman selepas solat sunat terawih. Pelbagai kisah menarik tentang Moreh yang menjadi amalan tradisi malam ramadhon merupakan bait-bait kenangan yang pasti menjelma apabila mengimbau ramadhon dan kebesarannya. Dulu, setiap masjid akan mengadakan moreh dengan orang-orang kampung akan bergotong royong memasak dan menyajikan kepada jemaah setiapkali selepas solat sunat. Itulah hadiah ramodhon buat golongan yang kurang berada untuk sama-sama merasai nikmat makan nasi dengan gulai ayam atau daging. Dan bagi kanak-kanak pula, malam-malam ramadhon dimasjid merupakan detik paling manis untuk dikenang kerana inilah masa untuk bermain aci ligan dengan teman-teman sambil sesekali bertindak nakal membakar meriam buluh memecah kesunyian disebalik wirid dan witir Tuk Imam.
Kini segala keriangan itu seakan berlalu pergi. Masjid masih berisi dengan tetamu menunaikan solat terawih tetapi kemeriahan moreh selepas bersembahyang sudah menjadi tradisi yang hilang. Anak-anak muda lebih rela menghiaskan malam ramadhon dengan berlepak bersama rakan dan teman-teman sambil berbual kosong di kafe-kafe siber maupun di warung-warung kopi sebelum menunggu waktu sahur dan esok berpuasa lagi.Itulah realiti perubahan zaman yang menggamit rasa setiap ramadhon menjelma.
Apapun, salam ramadhon untuk semua. Selamat Berpuasa.
Setiausaha JKKD Pdg Terap

Monday, September 1, 2008

Salam Kemerdekaan dan Selamat Berpuasa

Tanggal 31 Ogos 2008 maka genaplah umur negara kebanggaan kita Malaysia tercinta menyambut hari lahirnya yang ke 51. Pelbagai pesta dan keramaian diadakan diseluruh negara bagi meraikan tarikh keramat penuh bersejarah yang menyaksikan bebasnya negara dari belengu penjajah. 51 tahun dahulu, bendera Union Jack diturunkan di padang Kelab Sultan Sulaiman (sekarang Dataran Merdeka) dan bendera Jalur Gemilang pun dinaikkan menandakan tamatnya era pendudukan British yang menjajahi kita sekian lama. 51 tahun dahulu tanpa perarakan dan tembakan bunga api semangat kemerdekaan diterjemahkan melalui laungan keramat MERDEKA!MERDWKA!MERDEKA! tepat detik 12 tengah malam. Ada airmata yang menitis keterharuan setelah ratusan tahun bumi dijajah. Ada seribu rasa yang sukar dimengerti oleh tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk membebaskan negara dari belengu penjajah. Setelah darah tumpah membasah, semangat juang mereka tidak pernah luntur. Tentunya nama-nama besar yang jasad mereka terkubur masih bersemadi diingatan kita. Jangan kita lupa pada Tok Janggut yang harum kuburnya di bumi Kelantan, Dol Said pejuang terbilang, Hj Abd Rahman Limbong yang bangun perkasa mempertahankan Islam, Datok MaharajaLela yang melakar sejarah berdarah pasir Salak, Mat Kilau dan Dato Bahaman yang gagah berjuang demi membebaskan tanahair tercinta.

Sejarah kemerdekaan negara melalui satu perjalanan yang panjang dan bukannya sekadar satu perjanjian atau kata-kata harapan rombongan kemerdekaan. Darah pahlawan yang terkorban jika mengalir pastinya alirnya merah menyala tanda semangat berkobar buat nusa tercinta. Bukan sekadar berarak menuntut hapusnya Malayan Union lantaran tidak berkenan dengan prinsip Jus Soli. Bukan sekadar mendesak dan mengumpul tandatangan Raja-raja Melayu untuk memulaukan majlis pengistiharan Malayan Union. Bukan sekadar berbaris dan bersorak kepada Harold Mc Michael. Tetapi, perjuangan kemerdekaan ini cukup panjang untuk dikisahkan. Kerana kita juga terjajah dalam satu kerangka masa yang panjang. 446 tahun sejak pendudukan Portugis di Bumi Melaka ratusan jiwa telah terkorban demi membebaskan bumi tercinta. Namun apa daya, ketika itu kita lemah dalam segalanya ketika penjajah benar-benar berkuasa. Setelah Portugis, Belanda, British kemudiannya Jepun sebelum kembali terjajah ditangan British semula segala kekayaan dirompak dan diangkut ke negara mereka. Apa lagi yang masih tinggal jika bukan semangat dan rasa keinginan untuk MERDEKA.

Kita mungkin lupa pada Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Burhanudin al Helmi ataupun lewat tulisan Rahim Kajai dan Abdullah Munsyi. Kita mungkin lupa pada Maahad Al-Ihya AlSyarif di Gunung Semanggol kerana tumpuan lebih terarah kepada MPSI dan MCKK. Maka kitapun melupakan sejarah perjuangan tokoh-tokoh terbilang yang pernah bermandi darah dan keringat demi mempertahankan nusa dan bangsa.

Hari ini setelah 51 tahun MERDEKA, kita pun menyambutnya dengan gembira. Dentuman bunga api bergema diudara, bendera jalur gemilangpun dikibarkan dalam pelbagai cara ketika si anak muda memacakkannya di motosikal dan merempit dijalanraya sambil bersorak MERDEKA. Dalam usaha memeriahkannya, Avril Lavigne dijemput sama ke Stadium Merdeka pada malam keramat Malam Jumaat dengan dihadiri hampir 5000 generasi merdeka. Maka menarilah mereka dihiasi dengan semangat laungan keramat di stadium yang pernah menyaksikan Tunku Abdul Rahman berkata MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! . Itulah hamparan permaidani merah menyambut tibanya Merdeka buat kali ke 51. Semuanya gembira dalam semangat kemerdekaan yang kian hilang. Anak-anak muda berpelesaran dan berdua-duaan sehingga habis bilik hotel murahan kerana menyambut hari kemerdekaan. Dan mereka pun membina generasi baru untuk mewarisi sambutan musim mendatang.

Dalam kemeriahan sambutan kemerdekaan kita lupa pada darah dan keringat tokoh pejuang...kita lupa kerana kita terlalu ghairah merayakan kemerdekaan dan kita lupa bahawa kita sebenarnya masih TERJAJAH akal dan pemikiran.


Selamat Meyambut Hari Kemerdekaan

Setiausaha JKKD Padang Terap

Wednesday, July 2, 2008

Mencorak Generasi Gemilang
Salam Sejahtera
Agak lama tidak mengemaskini blog lantaran kesibukan kerana urusan perniagaan hari ini saya berkesempatan untuk berkongsi pendapat tentang pelbagai isu yang melanda negara pada hari ini. Apapun, bagi pihak j/kuasa rakaman tahniah dan selamat pulang dari mengerjakan umrah kepada Pengerusi JKKD yang telah selamat mengerjakan umrah pada musim cuti persekolahan yang lalu. Semoga pengalaman beribadat di Tanah Suci menjadi azimat bermakna dan suntikan iltizam untuk meneruskan bakti memimpin JKKD Padang Terap menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Dalam kesempatan ini juga JKKD Padang Terap mengalu-alukan pelantikan j/kuasa baru yang bakal menerima tauliah lantikan dan telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk terus memperkasa agenda perjuangan.
Kegawatan politik hari ini mewarnai negara disamping perbicaraan hangat tentang isu kenaikan harga minyak dan harga barang yang kian menekan rakyat. Perbincangan hangat samada di Parlimen, kafe siber sehinggalah di kedai-kedai kopi adalah berkaitan politik negara yang kian tercalar. Pemusuhan dan persengketaan, kata mengata dan tuduh menuduh jelas memaparkan budaya dan sikap pemimpin hari ini yang telah lupa akan tanggungjawab sebenar mereka. Dalam satu perbualan dengan beberapa pemuda baru-baru ini mereka melahirkan rasa kecewa yang tidak terhingga dengan pergolakan politik yang melanda negara. Ketika pemimpin-pemimpin UMNO mula mencongak untuk bertanding dalam proses pemilihan parti, kisah konspirasi terhadap Anwar menjelma kembali. Harga barang pula melambung tinggi menimbulkan rasa protes dan tidak puas hati rakyat yang menebal di sanubari.
Maka dalam sibuk membicarakan persoalan tersebut generasi muda terus dilupai. Tinggallah anak-anak muda ini dalam kehidupan mereka sendiri. Gejala sosial terus menular seakan tiada titik akhirnya. Pembunuhan, rogol, rompak, samun, curi, culik semakin hari semakin menjadi-jadi. JKKD rasa terpanggil untuk sama-sama berkongsi rasa kecewa generasi muda hari ini. Janganlah kita lupa bahawa dalam pergolakan politik negara hari ini maka kita biarkan maruah generasi muda tergadai di bumi sendiri.
Sekalung Harapan
Setiausaha JKKD Pdg Terap

Friday, June 13, 2008

Antara Peningkatan Harga Minyak dan Peningkatan Kadar Jenayah

Salam Muhibah
Kemelut kenaikan harga minyak terus diperdebatkan oleh seluruh warga Malaysia. Semalam di Ibu Negara demontrasi membantah kenaikan harga minyak telah berjaya menarik 2 000 orang lebih untuk sama-sama berarak di jalanraya. Seluruh negara berkocak dan heboh memperdebatkan rasional tindakan Kerajaan menaikkan harga minyak. Rakyat rasa tertipu dengan kenyataan Menteri yang menyatakan minyak akan dinaikkan pada bulan Ogos nanti. Apapun kenaikan telah berlaku. Rakyat mula memprotes secara terang-terangan. Ada yang berdemontrasi di jalanraya menuntut penurunan segera. Pejabat Pos seluruh negara pula hari ini menerima kejutan apabila diserbu ribuan orang ramai yang ingin membuat tuntutan rebat harga minyak. Ternyata kenaikan harga minyak menyedarkan banyak pihak. Kerajaan terpaksa menaikkan harga kerana tidak lagi mampu untuk menampung subsidi kesan kenaikan minyak di pasaran dunia. Rakyat yang sekian lama menerima subsidi pula menerima padah berganda kerana bukan sekadar terpaksa membayar harga yang lebih untuk petrol malah harga barangan lain turut meningkat. Inilah realiti yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.
Rakyat Malaysia hari ini tidak boleh rasa terbeban jika bebanan itu menimpa diri sendiri. Realitinya, kenaikan harga minyak telah memberi implikasi besar kerana melibatkan orang ramai. Dalam masa yang sama kita lupa bahawa berlaku satu lagi kenaikan yang kini amat membimbangkan negara. Jangan lupa tentang kenaikan kadar jenayah yang kian hari kian bertambah. Kes jenayah terus meningkat tanpa siapapun mahu peduli. Di manakah rakyat yang memberontak membantah kenaikan harga minyak ketika kegiatan bunuh, rogol, curi dan samun makin berleluasa. Di manakah suara pemimpin-pemimpin kita yang ketika harga minyak naik mengumumkan pelbagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah kenaikan harga. Jangan kita lupa bahawa negara ini sedang mengalami kegawatan sosial yang kian parah. Kita lupa betapa pentingnya generasi masa depan membina negara ke arah yang lebih gemilang dan terbilang.

Sunday, May 18, 2008

Sepakat Menjana Perubahan

Salam Sejahtera

Dalam kesempatan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang terlibat dalam Kem Pemantapan Jiwa Insan dan Kerjaya Diri yang telah berlansung selama 3 hari 2 malam di Kampus UUM, Sintok. Lama tidak memasuki kawasan kampus rasa teruja apabila melihat suasana kampus yang sungguh mendamaikan dengan rimbunan pohon menghijau dan bukit bukau disekelilingnya. Cuma ketika melalui jalan Kuala Nerang - UUM melalui kawasan ladang tebu rasa terhimpit dan agak kecewa melihat kehijauan rimba sudah bertukar warna dengan bukit-bukau diratakan kesan aktiviti pembalakan dan pengorekan pasir yang tidak terkawal.
Bagi para peserta pengalaman berkampung dalam kampus ini adalah merupakan suatu pengalaman menarik yang tidak mungkin dilupakan. Tinggal diasrama yang sebelum ini dihuni oleh para mahasiswa, kesempatan berada dalam dewan kuliah dan pelbagai kenangan manis ini haruslah diterjemahkan dengan iltizam untuk berubah. Sesungguhnya, kejayaan tidak melalui jalan pintas, segalanya memerlukan kesunguhan dan menagih keyakinan dari semua peserta. Suatu hari, kampus ini pasti akan menjadi tempat anda semua kembali jika berusaha dengan gigih umtuk mencari kejayaan. Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini.
Sekalung penghargaan dan terimakasih buat Pejabat Pelajaran Daerah Padang Terap dan sekolah-sekolah terlibat iaitu SMK Kuala Nerang, SMK Pedu, SMK Padang Terap dan SMK Naka yang sudi mengirimkan peserta untuk bersama-sama dalam program ini. Perkongsian pintar ini wajar kita gerakkan lagi supaya hasrat kita bersama untuk membangunkan modal insan agar menjadi warga yang cemerlang dan terbilang mencapai kejayaan. Bagi pihak JKKD Padang Terap usaha berterusan perlu digembleng secara bersungguh-sungguh supaya hasilnya kelak memberi manfaat buat semua. Tanpa penglibatan sekolah dalam menjayakan program ini pastinya sukar bagi kita untuk membina generasi Malaysia yang mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.
Rakaman terimakasih juga buat pegawai-pegawai di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap atas sokongan berterusan kepada JKKD. Sebagai NGO yang bernaung di bawah JKM pastinya tautan kasih ini terus dipereratkan lagi dalam usaha kita bersama menangani permasalahan sosial di kalangan remaja yang semakin membarah. Terimasih kerana sudi meluangkan masa walaupun sekejab untuk bersama dengan para peserta biarpun sibuk dengan kehadiran YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Kedah pada 18 dan 19 Mei. Sesungguhnya, komitmen dan kerjasama ini memberi suntikan semangat untuk JKKD Padang Terap terus bergerak menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang tahun 2008 ini.
Bagi para AJK JKKD yang berada bersama peserta, pengorbanan anda amat besar ertinya bagi kita semua. Sebagai sebuah NGO, inilah sahaja yang mampu kita sumbangkan tanpa ganjaran upah dan bayaran setimpal. Ini adalah janji yang kita lafazkan bersama demi membantu melahirkan masyarakat yang mesra, sepakat dan sejahtera. Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya buat kita atas usaha murni ini. InsyaAllah.
Buat pihak pengelola kursus di DMT Universiti Utara Malaysia dan para pembimbing yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa, pihak JKKD merakamkan ucapan penghargaan dan terimakasih atas segala bakti dan budi yang dicurahkan. Terimakasih kerana memberi sesuatu yang berharga buat anak-anak ini. Terimakasih kerana mencurahkan pelbagai ilmu kepada anak-anak ini. Moga dan semoga apa yang dicurahkan kepada mereka akan membari nafas dan semangat untuk mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Akhirkata, buat seluruh peserta sekali lagi pihak JKKD merakamkan rasa terimakasih dan bangga kami kepada anda semua. Andalah generasi baru masa depan Malaysia dan sepakatlah kita berubah menjana perubahan ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Muhamad Nor Rashidi
Setiausaha JKKD Padang Terap

Berkat Berjasa Untuk Semua

Berkat Berjasa Untuk Semua

VISI DAN MISI JKKD

VISI
Memelihara Jiwa Melindungi Pekerti dan Memulih Minda Kanak-Kanak Bagi Mencapai Kesejahteraan Hidup

MISI
1. Menfokuskan pencapaian matlamat Dasar Sosial Negara.
2. Memupuk Budaya Sepakat bagi menangani gejala sosial.
3. Menggerak aktiviti kemasyarakatan secara menyeluruh dan bersepadu.
4. Menjana daya intelektual membangunkan jiwa kanak-kanak agar lebih matang, berkeyakinan dan berdaya maju.
5. Menjalin semangat toleransi sesama ahli komuniti

MOTTO
Mesra Sepakat Sejahtera

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah

Menjana Perubahan Menjadi Remaja Bermaruah
Album Kenangan : Kursus Pemantapan Jiwa Insan di UUM